Thursday, July 21, 2005

LAGI LAGI.... ATTACK

Lagi-lagi attack. Yang kena tuduh orang kita. Umat kita. Kalau kita yang kena serang. Takde nak panggil attack pulak.

Salam.

Lama tak tulis. Rasa janggal lak, heh.

Anyway, tadi masa cek emel, baru jek baca satu artikel pasal July 7, London Attacks.
_______________________________________________________
7 JULAI: SATU PERANCANGAN ATAU KEBETULAN?

Kesan pengeboman yang berlaku di kota London pada 7 julai yang lepas memberikan impak yang sangat besar kepada dunia pada ketika ini. Kesannya dirasai berhari-hari malah mungkin tidak dapat dipadam dari sejarah peradaban dunia masa kini pun. Selepas pengeboman di Amerika (9/11), seterusnya di Madrid (2/5) dan kini London (7/7), Barat seolah-olah dihujani oleh ancaman demi ancaman secara halus dan terang-terangan. Namun persoalannya, adakah keganasan ini suatu perancangan, ataupun suatu kebetulan?

Seperti biasanya, peristiwa sebegini mendapat liputan media yang sangat meluas, menyebabkan dunia alpa dengan episod keganasan yang masih berlaku di negara umat Islam yang lainnya. Begitulah selalunya, apa sahaja yang berlaku di Barat akan dianggap sesuatu yang signifikan, sesuatu yang besar dan dahsyat. Jikalau berlaku di Turki misalnya, Indonesia dan Thailand, walaupun jumlah korban keganasan melebihi angka keganasan yang berlaku di Barat, masyarakat dunia seolah-olah tidak peduli. Tragisnya kita sebagai umat Islam masih menjadi penonton setia kepada episod sandiwara yang berlangsung di hadapan mata kita yang mana pelakonnya adalah kuasa Barat serta konco-konconya, tanpa mampu berbuat apa-apa.

Demikianlah, walaupun ada suara Islam yang bersuara untuk membersihkan imej Islam yang dirobek dan dipermainkan dengan sesuka hati sahaja, namun suara itu tenggelam dengan andaian dan tuduhan yang tidak berasas dari pihak Barat berikutan keganasan itu. Sangat ironi dan menyedihkan, segala peristiwa yang melibatkan bom akan terus dikaitkan dengan pengeboman berani mati oleh umat Islam yang dikatakan fanatik dan ekstremis. Hatta beberapa jam sebelum kesemua mayat ditemui, nama Islam juga yang dikaitkan tanpa ada bukti yang sah. Pelik, masyarakat Barat yang sangat menjaga etika dan memelihara keadilan dalam masyarakat boleh menuduh seseorang itu bersalah tanpa bukti. Seorang penjenayah yang membunuh berpuluh-puluh manusia pun mengambil masa berpuluh-puluh tahun untuk dibuktikan kesalahannya. Apatah lagi peristiwa pengeboman di Amerika, Madrid dan London yang memang tidak diketahui hakikatnya siapakah dalang di sebalik peristiwa pengeboman tersebut. Yang ada cumalah andaian dan tekaan hasil dari bukti-bukti yang lemah.

Sehinggalah artikel ini ditulis, pihak polis Britain sudah pun mengenal pasti pengebom yang bertanggungjawab membunuh 53 penduduk awam serta mencederakan 700 yang lainnya. 4 orang pelajar Muslim yang muda telah disabitkan kesalahan yang belum dapat dibuktikan lagi melainkan rakaman cctv yang boleh dipertikan kesahihannya (baca: boleh mengubah suai imej di dalam kamera menggunakan komputer). Perkataan Muslim dibesarkan dan orang ramai mula melatah apabila mengetahui hakikat ini. Bukan sahaja masyarakat Britain yang tidak dapat tidak menunjuk ketidak puashatian mereka dengan mengadakan serangan fizikal mahupun perasaan terhadap masyarakat Muslim di Britain, namun juga para pemimpin negara Islam yang mula mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan itu tidak melambangkan Islam, seolah-olah membenarkan dakwaan bahawa mereka berempat bersalah. Apakah maknanya semua ini? Tony Blair dalam kenyataannya pada 17 Julai mengatakan belum ada bukti konkrit mengatakan perbuatan itu adalah perbuatan berani mati! Mengapa umat Islam sendiri sudah menggelebah seperti kita yang bersalah? Kita harus bangga dengan Islam dan mempertahankan mereka yang tidak bersalah!

Seharusnya diwujudkan suruhanjaya bebas untuk menyiasat peristiwa berdarah itu. Di dalam suruhanjaya itu perlulah ada segolongan Muslim yang benar dan boleh dipercayai untuk bersama-sama membongkar kejadian itu. Bukan membiarkan andaian-andaian dan tuduhan-tuduhan dibuat. Kenyataan para pemimpin Islam itu walaupun berniat baik untuk mengelakkan berlakunya penindasan dan ancaman terhadap penduduk Muslim setempat, namun membenarkan apa sahaja yang dikatakan Barat merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima.

Wujudlah kini anggapan dan stigma baru dalam masyarakat global; keganasan itu pasti ada kaitan dengan ekstremis Muslim yang mahu memporakperandakan masyarakat Barat di atas apa yang berlaku terhadap negara Islam yang lain. Seolah-olah Barat kekurangan penjenayah yang mampu membuat letupan itu, mereka sudah dapat mengagak malah mungkin merancang agar Muslim akan dipersalahkan akhirnya. Barat kini berkubang di dalam ketakutan yang mereka cipta sendiri.

Pada masyarakat dunia kini mungkin, membunuh umat Islam (baca: warga awam) di Palestin, Iraq, Thailand dan Afghanistan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima namun peristiwa itu tidak penting buat mereka. Keganasan di negara-negara tersebut seolah-olah tidak mengejutkan masyarakat dunia. Yang boleh dilakukan hanyalah menyalahkan Barat samada kerana mereka bertanggungjawab ataupun tidak berbuat apa-apa berkenaan dengan perkara itu. Tidak ada kuasa yang mampu memperbaiki keadaan negara-negara tersebut hattakan pemimpin negara-negara Islam yang hanya selesa mengeluarkan ucapan yang berbunga-bunga namun lumpuh dalam menyelamatkan keadaan umat Islam sendiri. Jika membunuh hattakan seorang dari penduduk Barat (mahupun Israel), satu dunia perlulah dikecohkan dan tindakan serta merta dilaksanakan terhadap perlakunya. Islam terus menerus dikaitkan dan diburukkan seolah-olah Islam merupakan satu makhluk yang perlu diusir dari muka bumi ini.

Yang menyedihkan keadaan ini tidak dirasai langsung oleh kebanyakan 1.3 billion umat Islam di dunia kini. Samada mereka tenggelam di dalam mengejar dunia ataupun terlalu dangkal dalam memahami percaturan yang berlaku pada masa kini.

Oleh kerana itu, tidak hairan jika kita melihat Amerika dengan sewenangnya menggunakan tiket membanteras keganasan untuk memasuki Iraq dan kini telah meletakkan pimpinan Iraq di bawah genggaman mereka. Kita juga tidak hairan mengapa para pemimpin negara Islam di timur Barat dan Tanah Arab khususnya tidak mampu berbuat apa-apa untuk mengatasi keadaan itu malah membenarkan masyarakat dunia menonton bagaimana kekejaman berlaku pada insan yang tidak bersalah di Iraq. Kini Jordan, Arab Saudi, Palestin dan pemimpin negara Islam lain ramai sudah tunduk pada telunjuk Amerika sehingga sanggup menggadaikan nyawa umat Islam sendiri.

Kini tinggallah Syria yang masih lagi teguh tanpa usikan sedikit pun dari pihak Barat. Tidak mustahil peristiwa keganasan yang berlaku di London adalah suatu yang dirancang supaya Barat boleh menembusi Syria atas tiket membanteras keganasan juga. Benar dakwaan ini juga adalah dakwaan yang tidak berasas mahupun mempunyai bukti. Namun ini adalah kemungkinan dan kenyataan yang perlulah dihadapi oleh umat Islam untuk melakukan persediaan yang kental supaya kita tidak terus menerus membenarkan tidakan Barat sehingga menggadaikan aqidah serta saudara kita sendiri.

Berbalik kepada persoalannya: adakah ini satu kebetulan dan satu perancangan? Satu kebetulan bahawa memang ada puak yang mahu memberi teguran dan ancaman kepada Britain atas campur tangan yang dilakukannya terhadap konflik dunia. Satu kebetulan mereka itu adalah orang Islam yang ditugaskan melakukan aksi itu (walaupun tanpa bukti). Ataupun satu perancangan yang detail dan mendalam serta lama bagi menghentam dan menghancurkan umat Islam selumatnya. Terutama umat yang tidak mampu Barat jajah pemikiran mereka dengan ideologi serta hiburan dan sukan yang melekakan.

Apakah tindakan kita kini? Kita hanya mampu menonton dan menerima segala fakta yang dimuat-turun(download) kepada kita tanpa kita sendiri sedar akan kesahihan berita itu (Al-Hujurat: 6). Kita akan hanya mampu berdoa seperti biasa dan gembira kerana peristiwa ini menyebabkan ramai orang mahu mempelajari tentang Islam hatta menguatkan pegangan umat Islam terhadap agama mereka sendiri. Kita akan hanya duduk mendiamkan diri serta menjalani kehidupan kita seperti biasa seolah-olah tiada apa yang berlaku. Kita akan hanya pasrah menjadi golongan pasif yang menerima apa sahaja yang menimpa dan kita tidak kisah menghadapi golongan pesimis terhadap Islam di masa mendatang in. Dan kita juga akan tidak kisah pandangan mata serta kawalan keselamatan yang semakin ketat ditujukan kepada golongan seperti kita.

Atau kita boleh melakukan sesuatu yang boleh membawa perubahan kepada diri kita sendiri, mahupun pemimpin dunia Islam agar peristiwa sebegini tidak akan berlaku lagi. Namun siapakah kita untuk melakukan perkara itu bukan?

Nyata, peristiwa pengeboman ini sebenarnya teguran Allah buat kita. Kita masih lagi leka dengan ancaman yang ditujukan buat kita semenjak peristiwa 9/11. Sekarang pusingannya berlaku lagi. Benar, peristiwa kekejaman terhadap umat Islam lebih dahsyat berlaku di Iraq, Palestin dan Darfur namun mungkin kesedaran itu belum berbekas lagi. Dan Allah mahu kita nampak bahawa perancangan barat untuk menghancurkan umat Islam hingga hancur lumat adalah perancangan yang teliti dan rapi sehingga umat Islam sendiri tertipu dengan perancangan mereka.

Di sebalik gejolak yang berlaku dan tindakan yang dilakukan terhadap umat Islam, kita masih lagi memandang tinggi terhadap mereka. Kita masih lagi bergantung kuat pada ekonomi dan barangan mereka. Hati kita begitu meresap terhadap budaya, muzik, hiburan, sains dan ketamudan mereka sehingga kita merasakan kita takkan mudah hidup tanpa mereka.Dan inilah sikap sebahagian besar umat Islam di dunia ini.

Peristiwa berdarah yang mengorbankan 53 orang dan mencederakan 700 yang lain sepatutnya cukup membuatkan kita berfikir dan waspada. Sampai bilakah akan kita biarkan dunia barat menuding jari terhadap umat islam atas segala keganasan yang berlaku? Sampai bilakah kita mahu memberikan mereka laluan untuk menyerang negara Islam lain atas tuduhan untuk membanteras keganasan yang tiada buktinya? Sampai bilakah kita hanya mahu duduk berpangku tangan dan cukup hanya mengutuk perbuatan mereka sedangkan mereka dengan senangnya memerintah dunia ini dengan hujung jari mereka? Sambil umat Islam masih lagi mengagungkan budaya mereka dan menyokong sistem ekonomi mereka!

Kita umat islam masih leka dan lebih suka memikirkan perkara-perkara yang tidak memberatkan akal fikiran kita.

Maka, apa yang kita boleh buat sekarang? Persoalan yang hanya hati dan akal kita tahu akan jawapannya ..
_______________________________________________________

Tengah bace email nih, tibe2 papa panggil. Ade breaking news plak kat CNN. Incident at Warren Street, Oval, and Shepherd's Bush.

Agaknya, sabotaj plak ke?

Wallahua'lam.

Berdoa agar takkan ada lagi orang tak berdosa diragut nyawanya.

"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)". Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemauan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu." [al-Baqarah;120]

No comments: