Saturday, February 25, 2006

KISAH PAYUNG

Keje banyak je, tapi rase nak update sebagai tanda menghargai payung itu.

Semalam pegi school awal sebab nak hantar assignment. Kebetulan hari hujan. So first time la nak pakai payung yang baru beli tu. Kisahnye:

1. Mase nak kluar tuh, try bukak payung tu, die macam taknak bukak habes, so pangil Ija mintak tolong bukakkan payung tu.

2. Pastuh jalan punye jalan, dah masuk dental hospital tu, jumpe la Madihah. Die pun pakai payung, tapi payung die dah tutup. Try tutup payung sendiri tak reti. Daripada kat dental school try tutup sampai la dekat reception tuh, tak berjaye2 lagi. Nasib baik ade Madihah, die pon try tutup dan berjaye.

3. Alhamdulillah, akhirnye, terhantar jugak patient study tu. So pegi la lecture. Ade gap between lecture tuh ngan next lecture. By the time nak pegi the other lecture tu, baru la perasan payung tuh dah takde. Was positively sure I left it kat dalam toilet, betul2 dekat sink depan cermin tu.

4. So habes je lecture tuh pegi la toilet tuh, takde. Then pegi cek kat semue tempat I could have possibly gone during the gap. Pon takde.

Jadi kesimpulannya, payung dah hilang! Huhu, sedihnye. Sure payung tu merajuk sebab tuan die tak reti gune die. Sori payungku, I wish I'd read the instructions. Mane la awak skarang ye...

Itu je. Just my grief at the lost of my payung =(

Sunday, February 19, 2006

KARTUN PERSENDA NABI

For sure pasti ramai yang akan marah dengan wujudnya kartun ni. I first read this issue when I got back from Malaysia on the 31st Dec or 1st Jan in a newspaper in Germany. Never thought it would be republished.

Tertarik bile bace email sorang ukhti nih, yang pastekan cerita dari fitrah perkasa website - mempersoalkan betulkah kita marah kerana cintakan Rasulullah, atau kita hanya marah kerana bencikan mereka yang mempersendakan Rasulullah. InsyaAllah, moga boleh amik iktibar dari kisah ni.

MARAH KERANA CINTA... BUKAN KERANA BENCI

Oleh: Pahrol Mohamad Juoi @ www.fitrahperkasa.net

Saya masih ingat sikap `unik' (aneh) sesetengah orang-orang tua kampung dulu-dulu. Ruang di bawah rumah mereka selalunya diperuntukkan untuk meletakkan barang usang yang `kurang' atau tidak perlu. Selalunya botol-botol, tin-tin atau papan-papan buruk. Entah kenapa semua itu tidak dibuang. Hanya di letakkan begitu sahaja. Diguna tidak, dibuang pun tidak. Peliknya, apabila barang-barang `antik' itu hendak diambil oleh orang lain, cepat-cepat pula mereka melarangnya. Tak boleh – nak guna, sayang, dan macam-macam alasan.

Itulah sebuah analogi yang terlintas di fikiran bila saya ditanya tentang kemarahan umat Islam terhadap penyiaran karikatur menghina nabi Muhammad s.a.w oleh akhbar-akhbar Eropah khususnya Denmark.

"Encik tidak marah?" tanya seorang siswa sehabis sahaja majlis diskusi tentang topik berkenaan.

"Marah," akui saya perlahan.

"Tak cukup begitu sahaja. Esok kita berarak, bakar bendera Denmark!"

Saya senyum.

"Kita ada cara yang lebih baik. Ada senjata yang lebih hebat. Doa," balas saya.

"Kita kena tunjuk kemarahan kepada mereka yang menghina Rasul."

"Menunjukkan kecintaan kepada Rasul lebih utama."

"Marah itulah tanda kecintaan kita…"

"Betul. Tetapi membuktikan kecintaan dengan mengamalkan sunnahnya jauh
lebih utama."

"Encik takut?"

Saya renung matanya.

"Mengamalkan sunnah Rasul memerlukan lebih keberanian… Tentangannya lebih hebat. Bahkan daripada orang Islam sendiri," tusuk saya perlahan.

"Kita bakar bendera mereka!"

"Kita `bakar' cara hidup mereka. Itu lebih relevan."

Giliran dia pula yang diam. Mungkin siswa yang `terbakar' ini mula mengunyah maksud kiasan saya.

Lalu saya ceritakan analogi awal tadi. Alhamdulillah, dia mendengar teliti.


"Kita dengan sunnah, seperti orang tua-tua dahulu dengan barang-barang usang di bawah rumah. Nak digunakan tidak, nak dijunjung jauh sekali, tetapi bila ada orang lain nak mengambilnya, barulah heboh konon nak digunakan."

"Bagaimana kita hendak tunjukkan perasaan marah?"

"Demontrasi depan manusia. Depan Allah, kita berdoa. Kita muhasabah, sejauh mana kecintaan kita kepada Rasul-Nya. Mungkin provokasi Barat membawa pengajaran tersirat."

"Pengajaran tersirat?"

"Ya, tersirat dari Allah… agar kita menilai semula benar-benarkah kita mencintai sunnah Rasul-Nya selama ini."

"Kemarahan ummah inilah buktinya," ujarnya bersemangat.

"Kemarahan cuma bermusim. Hanya luapan sentimen berkala. Namun kegigihan, kebijaksanaan, perancangan dan ketabahan jangka panjang amat perlu."

"Maksud encik?"

Jelas dia terpancing dengan kilasan dan kiasan kata-kata.

"Jangka panjang, sudahkah kita mendidik generasi muda mencintai Rasul dan keluarganya? Saya risau generasi muda yang mabuk hedonisme kini tidak akan punya kemarahan yang sama seperti yang saudara alami."

"Saya ada kawan-kawan sebaya yang hidupnya lintang pukang, tapi masih marah bila Rasulullullah dipersendakan. Mereka akan turut berarak esok!"

"Hidup lintang-pukang? Macam mana tu?" tanya saya minta kepastian.

"Rock habis. Sembahyang tidak. Bergaul bebas biasalah… tapi cinta mereka terhadap Rasul tak luntur."

"Ajak mereka sembahyang dulu. Tak berarak pun tak apa. Cinta dulu, marah kemudian. Bila ada cinta, pasti ada marah bila kecintaan dicela. Tapi kalau marah saja, belum tentu ada cinta… "

Dia diam lagi. Kali ini diamnya lebih panjang.

"Agaknya orang tua tu marah tak kalau kita ambil barang-barang berharga di atas rumah?" tanyanya tiba-tiba.

"Orang tua mana?" tanya saya semula. Hairan.

"Orang tua dalam analogi encik tadi itulah!"

"Soalan tu kurang umph," gurau saya.

"Habis soalan apa yang umph?"

"Agaknya orang berani tak hendak minta barang di atas rumah? Berbanding barang usang di bawah rumah?" balas saya.

Termenung lagi dia. Seronok rasanya `membimbing' siswa ini berfikir. Terimbau luapan semangat saya sewaktu di kampus dulu. Beginilah pola berfikir saya. .

Tiba-tiba dia bersuara, "tentu tak berani, kerana barang di atas rumah tentu lebih berharga."

"Begitulah sunnah, jika dihayati, diamalkan dan diperjuangkan. Ia nampak sangat berharga di tangan pencintanya. Musuh tak kan berani mengusiknya, apalagi nak menghinanya…"

"Encik ni, tak sangka ke situ pula kiasannya."

"Kita orang Islam mesti menghormati diri sendiri terlebih dahulu, barulah orang lain akan menghargai kita. Justeru, jika kita marahkan musuh yang mengecam Rasul, marahkanlah juga diri kita yang tidak benar-benar mencintainya!"

"Dan… bukti cinta amalkan sunnah Rasul. Itulah cara paling berkesan mempamerkan `kemarahan' kepada musuh-musuh yang menghinanya."

Alhamdulillah, saya yakin, kini marahnya kerana cinta bukan kerana benci. Dominasi cintakan Rasul bukan emosi bencikan musuhnya!